Sunday, 29 December 2013

Pengembaraan ke India

Assalamualaikum & Salam sejahtera,

    Dengan keluasan 3.29 kilometer persegi dan populasi penduduk seramai 1.2 billion (2012), India menduduki tangga ke-2 selepas China yang mempunyai ramai penduduk di planet ini.
 
   Mempunyai sejarah yang panjang iaitu bermula dengan zaman Vedik (1500SM-500M) dan sehinggalah empayar mahsyur Mughal, sudah pasti India merupakan negara yang kaya dengan pelbagai cerita.

   Oktober 2013 lalu, saya berpeluang melawat negara yang kaya dengan sejarah ini selama 9 hari atas urusan kerja sambil bercuti. Saya dan seorang teman sekerja telah ditugaskan untuk terbang ke New Delhi. Sudah tentu jika datang ke India, perkara yang terlintas difikiran adalah Taj Mahal!

Persediaan

   2 minggu sebelum terbang ke India, seperti biasa saya akan melakukan persediaan samada rasmi atau tidak rasmi. Saya menyediakan kertas kerja untuk projek yang akan "dikerjakan" disana seperti menyediakan lukisan pelan, beberapa perbincangan dengan pelanggan disana melalui email dan Skype, menempah tiket kapal terbang, memohon visa dan juga menempah hotel. Untuk pengetahuan, anda perlu memohon visa secara on-line terlebih dahulu sebelum pergi ke kedutaan India di Jalan Duta.

   Dalam perancangan awal saya akan berada di New Delhi selama 4 hari, Gurgaon; sebuah bandar yang sedang membangun berhampiran dengan New Delhi dipenuhi syarikat gergasi antarabangsa antaranya Dell dan juga di huni teknokrat dari serata dunia selama 4 hari, dan baki 1 hari terakhir dihabiskan dengan melawat tempat menarik di India. Sudah tentu saya sangat teruja untuk ke India dan mula mencari maklumat-maklumat yang perlu tentang India di internet antaranya:

1) Makanan halal yang boleh didapati.
2) Budaya masyarakat disana.
3) Keselamatan di sana.

   Saya juga mendapatkan maklumat tentang India melalui beberapa kenalan yang pernah bekerja dan bercuti di sana. Setelah segala maklumat yang diperlukan diperoleh, semangat semakin berkobar-kobar dan merah menyala.

Pengembaraan bermula

   Perjalanan bermula seawal 5 pagi ke KLIA. Seterusnya 'check-in' dan menunggu di Departure Hall. Keadaan di sana penuh sesak dengan hampir kesemua penumpang berbangsa India (saya tak pasti samada semua warga India) berbaris untuk pemeriksaan terakhir sebelum memasuki pesawat MAS.

    Saya ditempatkan bersama dua warga India sebaris (3 kerusi), seorang Singh dan seorang lagi tidak diketahui bangsa. Hampir kesemua kerusi penumpang penuh, mungkin mereka pulang untuk menyambut Deepavali yang akan tiba minggu hadapan. Saya mula merasa kurang selesa berada di dalam pesawat dengan bau-bauan yang kurang senang, saya tidak pasti samada itu bau dari pewangi yang mereka pakai atau dari tubuh mereka.
    Semasa dalam perjalanan, saya lihat peramugari dan peramugari sibuk melayani kerenah para penumpang yang pelbagai. Ada yang meminta ditukar makanan mereka ke makanan yang tidak terdapat di dalam pesawat. Sekali sekala terdengar juga peramugara meninggikan suara. Saya disajikan dengan makanan India, semuanya penuh dengan sayuran. Saya tergolong dalam golongan mereka yang kurang makan sayuran, saya menikmati hidangan tersebut sekadar mengalas perut. Saya dapat rasakan cabaran lebih besar menanti saya kemudian!

    5 jam didalam pesawat dengan tidur beberapa kali, akhirnya saya selamat tiba di Delhi International Airport. Keadaan airport tersebut dalam keadaan selesa dan menurut rakan India yang baru dikenali ketika didalam pesawat, airport tersebut masih baru bagi mengganti terminal yang lama. Setelah menanti hampir 20 minit di bahagian mengambil bagasi. Saya dimaklumkan bahawa bagasi saya akan dihantar ke hotel pada paling awal esok pagi. Alasan yang diberikan, terdapat masalah 'convenyor' ketika di Kuala Lumpur. Saya diminta untuk meninggalkan alamat hotel dan beberapa maklumat lain. Dengan keletihan akibat perjalanan yang panjang, saya pulang ke hotel dengan hanya mengendong beg laptop sahaja!



    Tiba di Connaught Hotel, saya terus menyiapkan diri untuk melawat tapak projek, pengamatan saya dan maklumat dari penyambut tetamu, ramai tetamu dari Malaysia, Indonesia dan Brunei menginap di hotel ini. Keadaan di hotel agak memuaskan kerana bangunan ini kelihatan lama dan beberapa sudut di hotel ini di mamah usia.

Bersama penyambut tetamu The Connaught Hotel

    Saya terus ke Connought Place, sebuah kawasan perniagaan yang dengan beberapa blok bangunan yang disusun dengan secara bulat. Buat pertama kali, saya menggunakan perkhidmatan teksi, Bagusnya India, rata-rata pemandu teksi mereka dan tuk-tuk mampu berkomunikasi english dengan baik. Tapi yang peliknya, teksi di India sukar dikenali kerana mereka tidak menggunakan logo atau tanda yang memberitahu mereka adalah teksi. Mereka umpama 'prebet sapu' di Malaysia.

     Menyesuaikan diri dengan sesuatu keadaan dan tempat adalah amat sukar dan perit!

Budaya 

    Beberapa hari bergaul dengan mereka, sedikit sebanyak saya dapat mengetahui budaya dan cara hidup mereka di sana. Sepanjang berada di New Delhi, saya dapati kehidupan jalanan di sana amat sibuk. Penjaja jalanan sibuk menjual barangan mereka antaranya buah-buahan, sirih dan macam-macam lagi. Termasuk gelandangan dan juga pengemis. Amat menyedihkan apabila melihat kanak-kanak seusia dengan anak saya hidup di jalanan dengan keadaan amat menyedihkan.
   
    Mungkin akibat kepadatan penduduk yang tinggi, keadaan disana pada pendapat saya agak kotor, kesan-kesan sirih boleh dilihat di dinding-dinding bangunan di situ. Sampah dibuang sesuka hati serta keadaan yang berdebu.
   
    Masyarakat di sana juga amat kurang menitik berat kebersihan. Kita boleh lihat mereka boleh membuang air kecil di tepi jalan. Jadi, berhati-hati jika anda ingin duduk di bahu jalan sekitar bandar tersebut. Jika masuk ke tandas-tandas awam di sana, bau yang agak kuat mungkin disebabkan banyak memakan rempah ratus.

    Pengalaman saya berurusan dengan beberapa warga India samada pekerja bawahan hingga ke pengurus, mereka amat memberikan kerjasama tetapi mereka agak sukar menepati janji. Bak kata rakan yang pernah pergi ke India. Mereka mampu menjanjikan bulan dan bintang tapi memang sukar untuk menunaikannya. Saya hampir sahaja menunda perjalanan balik ke Malaysia kerana mereka lewat menyiapkan kerja. Begitu juga dengan menepati waktu. Dari segi lain, mereka amat menghormati dan menghargai tetamu. Mereka melayan saya dengan sangat baik tetapi harus berhati-hati kerana setiap kebaikan dilakukan, mungkin ada udang di sebalik batu.

    Keadaan trafik di sana sangat sibuk. Bagaimanapun, tidak seteruk di Malaysia kerana pemandu di sana memandu secara melulu. Hon dibunyikan sepanjang masa. Perkara biasa di negara membangun seperti ini.

   Ketika membeli belah samada cenderahati atau pakaian, saya akan tawar menawar harga dengan penjual sehingga serendah 50 peratus dari harga asal. Ketika berada di Taj Mahal, saya di bawa ke kenal menjual pelbagai cenderamata berasaskan batu marmar dan menurut penjual jenis batu marmar yang sama digunakan membina Taj Mahal. Saya tidak pasti samada betul atau tidak. Penjual tersebut menyatakan harga di kedai tersebut adalah standard  dan dikawal oleh kerajaan India. Setelah tawar menawar gagal, saya memutuskan untuk tidak membeli apa-apa di kedai tersebut. Menyedari perkara itu, penjual tersebut terus menurunkan menawarkan potongan harga sehingga 50 peratus. Tetapi saya tetap dengan keputusan tidak mahu membeli. Jelas kelihatan di wajah penjual tersebut marah dengan keputusan saya. Satu perkara yang penting di India, setiap perkhidmatan yang diberikan anda perlu memberi tips selain dari bayaran atas perkhidmatan yang diberikan. Berilah Rs. 100 sebagai tips dan mereka akan kelihatan sangat gembira!

    Niat saya bukan untuk menceritakan keburukan mereka, tetapi sekadar berkongsi pengalaman di sana. Adalah tidak adil untuk saya membandingkan keadaan disana dengan negara sendiri kerana 'hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri'.

Mengembara

    Sepanjang berada di New Delhi, sahabat India saya membawa saya 'sight seeing' melihat tempat-tempat wajib dilawati jika berada di India.
 
    Memulakan lawatan pertama ke India Gate, teringat cerita Hindustan lakonan Amir Khan dan Manisha. Keadaan disana penuh sesak dengan pengunjung samada tempatan mahupun asing. Sudah tentu penuh dengan peniaga jalanan yang menawarkan pelbagai cenderahati dan perkhidmatan photography. Tida kurang juga pengemis. Cara mereka agak radikal, mereka akan merayu kepada anda sepanjang jalan sehingga merimaskan. Saya tidak boleh berada India Gate secara dekat. Hanya boleh melihat dari jarak 100 meter lebih kurang.

Gambar "wajib" Taj Mahal

     Tidak jauh dari India Gate, saya singgah melawat kawasan pentadbiran kerajaan termasuk pejabat presiden, juga boleh di lihat dari jauh. Terdetik dalam hati, reka bentuk kawasan disana tidak banyak beza dengan Dataran Putrajaya, mungkin kebetulan. Saya amat kagum dengan seni bina dan kehebatan bangunan di sana.

India Gate

     Selepas itu, saya di bawa ke Red Fort, sebuah kubu merah ketika zaman keagungan kerajaan Mungal.
Saya tiba agak lewat dan hari sudah gelap. Kubu tersebut sangat besar dan tinggi, binaan berusia 200 tahun, seni bina yang amat hebat ketika itu sehebat kerajaan Islam ketika itu. Sebelum pulang, saya sempat menonton 'sound and light show'. Saya langsung tidak faham kerana mereka menggunakan bahasa Hindi. Saya ada mendengar beberapa ayat suci Al-Quran di baca, saya anggapkan mereka sedang menceritakan tentang kehebatan kerajaan Mughal. Setelah 20 minit menonton, saya beredar pulang ke hotel.

    Seterusnya saya bergerak ke Gurgaon, sebuah bandar yang 'urban' tetapi masih tidak boleh lari lagi dengan kehidupan jalanan yang sibuk. Di Gurgaon, saya agak terkejut dengan kelibat babi hutan yang berkeliaran umpama anjing liar di Malaysia. Babi hutan boleh di lihat di tepi-tepi jalan dan kelihatan agak jinak. Sangat meloyakan!

Ketika di Agra Fort Agra

    Saya bertolak ke Agra. Perjalanan telah diatur dengan agen pelancongan dengan bayaran Rs 8500, hanya untuk pengankutan sahaja iaitu menaiki Avanza. Sudah tentu selesa!

    Perjalanan ke Agra bermula seawal 6 pagi dan ia mengambil masa hampir 6 jam; 2 jam melalui jalanan biasa dan 3 jam melalui Yamuna Highway. Saya tidak pasti berapa yang diambil jika menggunakan jalan biasa yang sangat mencabar. Sepanjang perjalanan saya dapat saksikan pelbagai kerenah manusia. Ada yang tinggal di dalam khemah. Juga kelihatan kanak tidur di bahu jalan dalam keadaan telanjang bulat akibat kemiskinan. Hati melonjak-lonjak ingin menghulurkan sedikit wang tapi di tegah oleh pemandu pelancong kerana jika kita bagi derma kepada seorang, pasti yang lain akan mengerumi kita. Saya simpan saja hajat tersebut dan berdoa agar Allah mudahkan urusan mereka.

     Tiba di bandar Agra jam 12 tengah hari. Sebuah bandar kecil yang sangat sibuk dengan menjalankan ekonomi hasil seni tangan. Lawatan pertama, saya pergi ke Taj Mahal. Keluar saja dari kereta. Saya terus dikerumuni dengan mereka yang menjual kraftangan dan juga menawarkan perkhidmatan sebagai pemandu pelancong. Tawar menawar berlaku dan saya hampir sahaja menggunakan khidmat mereka kerana harga yang ditawarkan serendah Rs 100. Saya menuju ke kaunter dan membeli tiket. Harga tiket agak mahal sekitar RM50. Tiket tersebut perlu disimpan kerana jika anda pergi melawat monumen lain, anda akan mendapat diskaun dengan menunjukkan tiket tersebut.



    Sesudah membeli tiket, saya diberi penerangan ringkas tentang peraturan ketika berada di dalam kawasan Taj Mahal serta air mineral dan saya juga di perkenalkan dengan pemandu pelancong, mujur saya tidak mengambil pemandu pelancong tadi. Minuman lain adalah dilarang semasa berada di Taj Mahal. Pemeriksaan ketat ketika di pintu masuk.

    Maha Suci Allah! Perkataan pertama ketika melihat Taj Mahal secara langsung. Seperti melihat di dalam gambar. Seni bina yang begitu indah dan begitu teliti dapat dilihat disini. Saya mula berfikir betapa hebatnya masyarakat ketika itu. Masih lagi kekal cantik biarpun sudah berusia ratusan tahun. Bangunan dibina secara isometrik. Pada mereka yang ingin melawat salah satu keajaiban dunia ini, anda perlu mengambil pemandu pelancong supaya anda boleh melihat kehebatan bangunan ini dengan lebih terperinci. Saya berpeluang masuk ke dalam bangunan tersebut. Sebelum itu, anda wajib menggunakan shoe cover agar tidak mengotorkan kawasan tersebut. Saya terpesona dengan pemandangan tersebut.

    Selesai melawat Taj Mahal, saya meneruskan perjalanan ke Agra Fort, kubu pertahanan dan pentadbiran ketika itu. Saya berpeluang masuk dan melihat sendiri tempat Shah Jahan dikurung dan hanya mampu melihat Taj Mahal dengan jelas dari bilik kurungan tersebut. Seni ukir setiap dinding dan batu di semua monumen amat mengkagumkan saya.

    Selesai semua saya terus pulang dan tiba di hotel jam 6 petang.

Makanan

    Sebelum berlepas ke India, saya dinasihatkan supaya tidak makan dan minum di warung tepi jalan dan tidak minum minuman seperti teh dan sebagainya sehinggakan gosok gigi pun menggunakan air mineral sebagai langkah berjaga-jaga agar tidak sakit perut. Minuman botol pun perlu diteliti terlebih dahulu bagi mengelakkan perbuatan seperti kitar semula botol yang digunakan. Alhamdulillah, sepanjang berada di India saya tidak mengalami sebarang masalah keracunan makanan.

 Antara makanan menarik yang boleh didapati di Connaught Hotel

Beriyani yang boleh di restoran Nizam New Delhi

    Dari segi makanan, India mempuyai pelbagai jenis makanan yang sedap antaranya samosa, roti nan, tandori butter, kari dan yang paling popular sudah tentu beriyani. Samosa disana sama bentuknya dengan samosa di Malaysia tetapi rasanya seperti karipap. Sangat lazat dimakan panas.

    Perkara yang perlu di beri perhatian ketika berada di India ialah status halal. Jika anda bertanya tentang status halal makanan tersebut, peniaga tersebut akan menyebut makanan mereka halal. Halal bagi mereka tiada babi dalam masakan. Ketika di Agra, saya tidak singgah makan di restoran di sana kerana meragui kebersihan dan status makanan tersebut. Mujur saya membawa biskut sebagai alas perut.

    Ketika di New Delhi, mencari restoran halal amat mudah kerana terdapat ramai restoran orang Islam di sana. Antaranya Restaurant Nizam yang menyediakan nasi beriyani dan pelbagai jenis makanan tempatan.

Roti Prata, Dhal dan kari ayam

   Teh di India juga pada saya enak. Tidak pernah saya menikmati teh dengan rasa sebegitu. Tapi elakkan untuk merasa teh di tepi jalan. Takut perut meragam.

    Sepanjang berada di New Delhi, kesukaran yang dihadapi adalah mencari convenience store, mungkin tiada langsung. Untuk mendapatkan sebotol coke anda boleh dapati di outlet kecil di tepi jalan. Berbanding ketika di Gurgaon, anda boleh pergi ke pasaraya dan mendapatkan pelbagai jenis snek. Paling mengujakan apabila anda boleh mendapatkan makanan dalam tin keluaran Ayam Brand disana.

Makanan yang boleh di dapati di Gurgaon

    Pada mulanya, adalah satu penyeksaan untuk menyesuaikan diri dengan budaya dan makanan sesuatu tempat. Semakin hari semakin baik dan saya mula jatuh cinta dengan makanan di sana!

Berharga

    Sembilan hari berada di India merupakan pengalaman berharga. Melihat dan mempelajari budaya dan cara hidup di sana membuka minda dan membuatkan saya rasa bersyukur dengan nikmat yang Allah beri pada saya. Seperti saya katakan sebelum ini, membandingkan negara orang dengan negara sendiri adalah amat adil. Apa yang perlu dilakukan adalah mempelajari dan mengenali perbezaan budaya dan adat agar kita saling kenal mengenal antara satu sama lain.

    Banyak lagi pengalaman yang hendak dikongsikan dalam ruangan ini, mungkin di entry yang lain. Semoga segala perkongsian pengalaman ini sedikit sebanyak dapat membantu!

Sampai berjumpa lagi.

Sekian.