Monday, 17 March 2014

Sepanjang Pencarian MH 370



Assalamualaikum,

     Pagi Sabtu 8/3/2014 negara digemparkan dengan kehilangan pesawat MH 370 Boeing 777-200 milik Malaysia Airlines (MAS) yang berlepas dari KLIA menuju ke Beijing.

     Pesawat malang tersebut membawa sejumlah 227 penumpang termasuk 2 bayi dan 12 anak kapal yang diketuai oleh Kapten Zaharie Ahmad Shah (53) dan pembantu juruterbang Fariq Abdul Hamid (27). Pesawat tersebut berlepas dari KLIA sekitar jam 12:41 pagi dan dijangka tiba di Beijing jam 6:30 pagi.

     Bermula dengan  pesawat tersebut dikesan hilang dari radar dan terputus hubungan dengan Subang Air Traffic Control (ATC) pada jam 2:40 pagi, sehinggalah hari ke-lima pencarian. Berita ini menggemparkan bukan sahaja di Malaysia sendiri malah seluruh dunia. Pelbagai andaian, spekulasi dan perbincangan dilakukan samada pihak kerajaan, pihak MAS sendiri dan juga dari mereka yang arif dalam industri penerbangan ini. Tidak ketinggalan juga menjadi isu hangat dan liputan meluas dalam laman sosial yang ada.


Andaian

    Semua media melaporkan situasi terkini tentang isu ini. Para pakar penerbangan membantu dengan memberikan segala kemungkinan yang boleh berlaku terhadap pesawat ini. Pihak kerajaan juga mengerahkan segala aset yang ada dan juga memohon bantuan daripada negara asing dalam mengesan lokasi sebenar pesawat misteri ini.

     Tidak ketinggalan juga, "pakar" yang tidak diiktiraf atau pakar "mee segera" di media sosial. Ada yang memberi teori yang membantu dan juga khabar angin yang diambil dari sumber yang tidak diketahui. Sememangnya berita-berita yang tidak sahih tentu menyebabkan keadaan bertambah sukar. Selain kerajaan terpaksa mengkaji bagi mengesahkan khabar angin ini, kerajaan juga akan dituduh sebagai menyembunyikan fakta kerana tidak memberi respons pantas terhadap isu ini tanpa mereka mengetahui bahawa kerajaan tidak boleh memberi maklumat tanpa mengkaji dulu kesahihan maklumat tersebut.

Usaha

     Sepanjang kehilangan pesawat MH 370. Pelbagai usaha dilakukan oleh pelbagai pihak. Paling menarik usaha yang dilakukan seorang yang mendakwa dirinya Raja Bomoh berasal dari Perak.
   
    Pertama kali muncul di KLIA beliau melakukan 'ritual' yang agak menggemparkan Malaysia dan dunia mungkin. Dengan menggunakan dua buah 'teropong' dan sebuah bubu yang biasanya digunakan untuk menangkap ikan, beliau mendakwa pesawat tersebut tergantung antara 3 buah negara. 'Ritual' yang dilakukan sangat menggemparkan dunia sehinggakan menjadi trending di laman sosial. Pelbagai kecaman yang diterima dari dalam dan juga luar negara.

     Tidak tamat disitu, hari berikutnya beliau datang sekali lagi ke KLIA. Kali ini ditemani 4 orang pembantu termasuk seorang wanita. Ritual kali ini menggunakan permaidani dengan ketiga-tiga pembantu duduk secara bersiri dengan masing-masing melakukan tugas masing-masing. .

    Video dan juga gambar Raja Bomoh ini boleh didapati dan dikongsi secara meluas serata dunia di Facebook dan You Tube.

     Pelbagai kecaman diterima termasuk dari ahli agama dan juga politik. Namun beliau tetap yakin dan optimis dengan cara yang mereka lakukan. Bagaimanapun, cara yang dilakukan tersebut didakwa terpesong dengan ajaran Islam dan boleh ditakrifkan sebagai khurafat dan syirik selain menjatuhkan maruah negara di mata dunia.


Pendapat 

     Antara yang menarik perhatian adalah wawancara pihak TV3 dengan bekas juruterbang pesawat Boeing 777, Kapten Norudin Abd Majid. Beliau merupakan juruterbang yang membawa pesawat Boeing 777 ke Malaysia.

    Beliau menegaskan setelah segala usaha dengan menggunakan teknologi canggih di lihat buntu. Hanya orang tertentu dengan cara tertentu sahaja dapat menemui pesawat tersebut. Ditanya oleh pengacara siapa yang beliau maksudkan, dengan yakin beliau menegaskan doa orang soleh dan ahli keluarga mangsa yang dapat membantu kerana keluarga sedang bersedih dan Allah Maha Mengetahui.

    Pendapat beliau mendapat mendapat reaksi positif di kalangan masyarakat. Selain usaha berterusan, merayu pada Allah juga perlu pada masa ini.




     Ketika ini semua pihak sedang bertungkus lumus. Selain usaha dari pihak kerajaan Malaysia. Kita juga turut dibantu oleh negara-negara jiran. Ini adalah masa yang sesuai bagi negara tersebut selain dari mengukuhkan hubungan diplomatik, ia juga dapat membantu negara-negara luar tersebut menguji keupayaan teknologi yang ada. Sebagai rakyat, kita amat prihatin dengan ujian yang melanda negara kita. Kita perlu menyumbang dengan tidak menyebarkan berita yang belum terbukti kesahihannya selain memohon kepada petunjuk kepada Maha Pencipta.

Sekian.

No comments:

Post a Comment