Sudah lama tidak membuat coretan dalam ruangan ini. Baru-baru ini saya berpeluang membaca sejarah lisan Tun Dr. Mahathir. Buku hasil temubual dua ahli akademik kepada Tun. Seluruh kandungan buku ini sangat menarik tentang sejarah dan masa depan orang Melayu.
Saya ingin kongsikan sedikit petikan orang tentang Islam masa kini dari perspektif Tun.
Pendapat saya adalah tekanan kita dalam ajaran agama ini tidak menyeluruh. Kebanyakkan daripada ajaran Islam yang terdapat dalam Al-Quran dan hadis-hadis yang sahih tidak dijelaskan kepada orang Islam. Mereka lebih menumpukan pada ibadat tertentu seperti Fardu A'in. Dan kalau kita teliti dalam Islam ada Fardu A'in dan Fardhu Kifayah. Fardu A'in adalah untuk diri kita sendiri. Kalau kita lakukan, kita mendapat pahala dan kita akan pergi ke syurga, Kalau kita berbuat salah, kita berdosa dan kita ke neraka. Itu untuk diri kita.
Sebaliknya Fardu Kifayah berkehendakkan dalam satu masyarakat itu mesti ada orang yang membuat sesuatu penting untuk masyarakat itu. Jika tidak maka keseluruhan masyarakat itu akan bersalah. Jadi ini tidak ditekankan. Hanya baru-baru ini sajalah ada tekanan terhadap Fardu Kifayah. Dulu kita cuma kita belajar sembahyang, puasa, zakat, melaksanakan ibadat haji dan mengucap dua kalimah syahadah. Ini yang diutamakan dan diulang berkali-kali supaya kita mesti sembahyang dan tambahkan juga sembahyang sunat dan lain-lain. Tekanan yang lebih diberi kepada ibadat seperti ini.
Tetapi bagi saya, setelah saya meneliti al-Quran dalam bahasa yang saya boleh faham, banyak ajaran dalam al-Quran itu tidak diajar sama sekali. Umpamanya kita perlu memiliki ilmu pengetahuan; Iqra'. Apabila kita membaca, kita mendapat pengetahuan. Tetapi mereka kata Iqra' itu adalah untuk belajar agama saja. Pengetahuan yang dikehendaki adalah berkisar pada agama saja. Sebenarnya dalam Al-Quran disebut bahawa orang Islam mesti mempunyai kebolehan mempertahankan umat Islam. Untuk mempertahankan umat Islam, kita memerlukan senjata. Pada zaman nabi, senjata bermaksud tombak, pedang, panah; tetapi pada zaman ini, kita memerlukan roket, bom, kereta kebal dan yang seangkatan dengannya. Untuk ini, kita perlu ada pengetahuan dalam bidang sains, dalam bidang fizik, kimia, ilmu hisab, tetapi ini kita tidak belajar. sebaliknya dalam a-Quran, apabila kita disuruh menentukan bahawa kita mampu mempertahankan diri, maka kita perlu memdapatkan kemampuan itu. Kita perlu ada ilmu berkenaan dengan cara membentuk senjata-senjata moden. Tanpa ilmu ini kita tidak dapat menunaikan fardu Kifayah, mempertahankan Islam dan umat Islam seperti yang disuruh dalam Al-Quran.
Sebenarnya dalam Islam tidak ada sekularisme. Kita menyebut bahawa Islam itu Ad-Deen, a way of life bukan a way of death, tetapi a way of life, cara hidup. Way of life ini banyak, menyeluruh termasuk untuk mencari rezeki, untuk bekerja, untuk mempumyai kecekapan, dan macam-macam lagi. Tetapi orang yang mengajar agama, bagi dia yang utama ialah ibadat tertentu. Kalau kita sembahyang, maka kita adalah orang yang baik, tetapi kalau kita tidak boleh mempertahankan diri kita, orang itu tidak salah. Tetapi sebaliknya itu salah. Ini yang menjadi masalah apabila mereka mengikut cara-cara barat, iaitu mengasingkan antara sekular dengan religion, church and state. Pada zaman dahulu, church secara langsung terlibat dengan pentadbiran sehingga menidakkan pemerintahan oleh raja. Oleh itu mereka terpaksa memisahkan pentadbir dan pentadbiran daripada gereja. Tetapi dalam agama Islam, ini tidak boleh dipisahkan kerana pentadbiran dan mentadbir adalah sebahagian dari way of life. Islam is a religion and a way of life; cara hidup. Jadi cara hidup bukan sahaja sembahyang, bukan sahaja puasa, bukan sahaja melakukan ibadat haji. Cara hidup seperti bercucuk tanam, cara membuat baju, cara menenun kain, semua ini cara hidup. Justeru, kita tidak boleh mengatakan bahawa perkara ini adalah sekular. Kita tidak boleh berkata pentadbiran adalah perkara sekular.
Sekian terima kasih