Terbaca artikel menarik dari Muhamad Mat Yakim tentang pengalaman pertama kali menjejakkan kaki ke kota Manila di Sinar Harian.
"Baru-baru ini, penulis menjejakkan kaki buat
kali pertama di Manila untuk menghadiri persidangan Publish Asia 2016, acara
tahunan Persatuan Penerbit Akhbar dan Berita Seluruh Dunia (WAN-Ifra) Asia
Pasifik.
Pertama kali ke
Manila dan tanpa sebarang nasihat dan pedoman, penulis berhadapan dengan
pengalaman sukar hendak mendapatkan makanan halal di ibu kota Filipina itu
terutama pada hari pertama. Hotel Manila, penginapan kami yang juga venue
persidangan di Teluk Manila, agak terpinggir dari pusat kota.
Untuk itu, kami
terpaksa keluar ke Makati dengan teksi bertambang 200 pesos (RM17) sehala pada
waktu biasa. Pada waktu jalan sesak teruk - kesesakan paling teruk di Kuala
Lumpur adalah biasa bagi Manila - tambang diminta 400 pesos (RM34). Ada pemandu
yang minta 700 Pesos (RM60) untuk perjalanan sehala sedangkan kalau hendak
dikira jarak tidaklah begitu jauh.
Itu hanya untuk
mendapatkan makanan halal sedangkan sepanjang waktu siang, kami terperangkap di
di dalam dewan persidangan dengan makanan yang disedikan oleh penganjur amat
dicurigakan status halalnya. Pihak hotel pula hanya menyediakan makanan halal
yang boleh dikira meyakinkan pada waktu sarapan.
Itulah situasi di
Manila, kota metropolitan yang tidak ramai tahu bahawa suatu ketika dahulu adalah
sebuah kota Islam. Raja Islam yang terakhir memerintah Manila ialah Raja
Soliman @ Sulaiman. Sebelum itu, Manila diperintah oleh bapa saudaranya
yang bernama Raja Matanda dan Lakandula.
Apabila disebut Islam
di Filipina, fikiran kebanyakan kita tertumpu di selatan negara itu, Mindanao
dan kepulauan sekitarnya. Tidak ramai yang tahu bahawa sebelum penjajahan
Sepanyol, 98 peratus daripada penduduk wilayah kepulauan itu beragama Islam.
Manila, pernah
diusahakan untuk jadi ibu kota Islam di Nusantara. Malangnya, penjajahan
Sepanyol yang begitu berdendam terhadap orang Islam di Andalusia, begitulah
juga hilangnya Islam di Filipina.
Arab
Manila, nama asalnya
Kota Seludong mendapat nama daripada perkataan Arab, 'Amanillah' ataupun 'Fi
amanillah' yang bermaksud 'Kota Aman Lindungan Allah'.
Raja Sulaiman
memerintah di delta Sungai Pasig, bersemayan di tapak asal bandar Manila, tidak jauh
dari Hotel Manila sekarang. Selain beliau, bapa saudaranya, Lakandula memerintah
kerajaan Tondo yang menguasai muara Sungai Pasig. Meskipun wilayah mereka tidak
seluas mana, kedua-duanya memerintah dengan makmur.
Lakandula yang
menguasai pelabuhan, membeli semua barangan yang dibawa oleh pedagang terutama
dari China dan beliau membayar terus separuh harga untuk setiap barangan itu
sebelum menjual semula kepada mereka yang mahu membelinya di wilayah pedalaman
dan kepualuan sekitar. Separuh lagi harga dibayar kepada pedagang terbabit
apabila mereka datang semula ke Manila setahun kemudiannya.
Raja Sulaiman pula
mengambil alih pemerintahan daripada bapa saudaranya, Raja Matanda. Raja
Sulaiman adalah raja Islam yang terakhir di Manila. Anak Lakandula, Magat
Salamat yang juga putera mahkota, tidak sempat naik takhta ekoran kemasukan
Sepanyol.
Wakil Hispanik yang
pertama kali menjejak kaki ke Filipina (ketika itu, belum ada nama Filipina)
ialah Ferdinand Magellan yang mendarat di Pulau Cebu pada 16 Mac 1521. Cebu
ketika itu diperintah oleh Raja Humabon. Pembantu Magellan ketika di Cebu ialah
Panglima Awang, seorang anak muda Melayu yang ditawannya di Melaka. Magellan
berasal dari Portugal namun dalam misinya di Nusantara, beliau mewakili
Sepanyol.
Disebabkan bahasa
Melayu hampir sama dengan bahasa tempatan, Awang diminta jadi penterjemah
kepada Magellan.
Dengan pengaruh
Magellan, Raja Humabon bersama pengikutnya bersetuju untuk tukar agama. Mereka
jadi kumpulan yang pertama murtad di Filipina lalu digelar oleh Magellan
sebagai ‘Warga Tuhan Sepanyol’. Persetujuan Raja Humabon adalah disebabkan
janji Magellan untuk membantunya memerangi pemberontak Mactan yang diketuai
Lapu Lapu.
Buluh
Magellan bersama 60
anggota delegasinya menyerang Lapu Lapu dengan senapang, meriam dan segala
jenis senjata besi. Lapu Lapu bersama 1,500 pahlawan Mactan pula hanya
bersenjata buluh runcing dan panah beracun. Magellan terkena panah beracun dan
temui ajalnya di situ manakala pengikutnya lari lintang pukang balik ke kapal.
Panglima Awang juga turut tercedera.
Usaha Sepanyol
dalam misi Gold, Glory and Gospel diketuai oleh Magellan tidak begitu berjaya.
Bagaimanapun mereka telah dapat menanam benih Kristianisasi dengan murtadnya
Raja Humabon dan pengikutnya.
Sejak itu, beberapa
lagi misi dihantar ke Filipina hinggalah ia mula memberi kesan melalui
pertapakan Miguel Lopez de Legazpi di Cebu pada 1565. Cebu yang telah
dikristiankan menerusi pemurtadan Raja Humabon yang sudah pun mempunyai nama
baharu, Carlos (bersempena dengan nama Raja Sepanyol) menyambut baik kehadiran
de Legazpi.
Sejak itu, Cebu
menjadi pusat pemerintahan penjajah Sepanyol. Nama Filipina juga mula
digunakan, iaitu ‘Islas de las Felipina’ yang mengambil nama raja muda
Sepanyol, Felipe.
de Legazpi
bagaimanapun tetap tidak berpuas hati kerana belum menguasai Manila yang
didengarinya lebih strategik untuk dijadikan pusat pemerintahan. Beliau
mengatur rancangan untuk menyerang Manila dan menghantar Martin de Goiti dan
Juan de Salcedo sebagai utusan untuk rundingan ‘persahabatan’ dengan Raja
Sulaiman. Pada mulanya, mereka disambut baik, namun apabila menyedari muslihat
Sepanyol, Raja Sulaiman enggan menyerah kalah lalu berlaku pertempuran pada
1570.
Pertempuran demi
pertempuran terus meletus hingga 1574, yang akhirnya menyaksikan ketewasan di
pihak Raja Sulaiman yang dibantu oleh bapa saudaranya, Lakandula. Raja Sulaiman
juga dibantu oleh seorang lagi pemerintah Islam bernama Tarik Sulaiman dari
Macabebe dalam Perang Bangkusay.
Bagaimanapun kecanggihan
senjata Sepanyol tidak dapat ditandingi.
Setelah kekalahan
Raja Sulaiman, penjajah Sepanyol terus memperlihatkan dendam kesumat mereka
yang begitu membara. Mereka meruntuhkan tapak kerajaan Raja Sulaiman di bandar
Manila lalu mendirikan kota di sekeliling ibu pejabat mereka yang diberi nama
Fort Santiago.
Kawasan di dalam
kota itu dikenali sebagai Intramuros yang jadi tumpuan pelancong hingga hari
ini.
Ada riwayat
menyebut, Lakandula selepas itu mengambil tindakan berkompromi dengan penjajah,
dan telah murtad bersama keluarganya. Beliau menukar nama kepada Don Carlos
Lacandola. Dalam rekod sejarah Sepanyol, Lakandula dianggap seorang pemerintah
yang bijak kerana memilih untuk berdamai dan keluarga serta keturunannya
diberikan beberapa keistimewaan oleh penjajah.
Ada disebutkan
bahawa beberapa nama besar Filipina hari ini termasuk bekas Presiden Diosdado
Macapagal dan anaknya yang juga bekas Presiden, Gloria Macapagal Arroyo adalah
daripada keturunan Lakandula. Keturunannya yang lain termasuk dua bekas
presiden Senat, Jovito Salonga dan Gil Puyat; selebriti antarabangsa, Lea
Salonga dan tokoh perniagaan, Gonzalo Puyat.
Sementara Raja
Matanda pula ketika terlantar sakit dikatakan telah minta untuk dibaptiskan.
Yang kekal Islam hingga menemui syahid dalam peperangan menentang penjajah,
adalah Raja Sulaiman, seorang penganut Islam yang taat daripada aliran Ahlul
Sunnah Wal Jamaah.
Sama ada cerita
kemurtadan raja-raja Manila ini benar ataupun sekadar propaganda penjajah,
tidak dapat dipastikan. Apa yang pasti lebih 90 peratus penduduk Filipina hari
ini beragama Katholik, agama yang dibawa oleh Sepanyol dan mereka adalah
daripada keturunan nenek moyang yang beragama Islam.
Keadaan telah berubah begitu drastik hingga untuk
mendapat makanan halal pun begitu sukar di Manila!
Bukanlah tidak ada orang Islam di Manila, masjid pun
ada namun bilangan mereka adalah sangat sedikit berbanding keseluruhan
populasi. Kebanyakannya bertumpu di Quiapo District, dan apa yang menyedihkan
ialah dari sudut sejarahnya. Hilangnya Islam di Manila (dan hampir seluruh
Filipina) adalah kerana pemurtadan nenek moyang mereka!
Sejak era Christopher Columbus yang tersesat ke
Amerika dalam pelayaran ke India, setiap orang tempatan yang ditemui digelar
Indian. Di Filipina, penjajah Sepanyol menggelar penduduk tempatan yang telah
dikristiankan sebagai Indios manakala penduduk di kepulauan selatan (Mindanao
dan lain-lain) yang beragama Islam sebagai Moro. Ini adalah berkaitan dengan
pengalaman mereka di Sepanyol yang mana orang Islam digelar ‘Moor’ sebagai
gelaran penghinaan.
Sulu
Selepas menguasai Manila dan sebahagian besar
wilayah Filipina, Sepanyol cuba untuk mara ke selatan. Bagaimanapun mereka menghadapi
tentangan sengit daripada penduduk di sana. Sepanyol tidak pernah berjaya
menjajah wilayah selatan Filipina. Orang Suluk atau Tausug di selatan
Filipina sejak abad ke 14 lagi sudah mempunyai empayar kesultanan yang kuat.
Dengan sejarah gemilang sebagai pemilik empayar
Sulu, sukar bagi Sepanyol untuk menewaskan mereka, tidak seperti di
utara. Bagaimanapun Sepanyol menggunakan jalan selamat untuk tidak menggunakan
orangnya sendiri di barisan hadapan sebaliknya menghantar penduduk Filipina sendiri
yang telah dikristiankan untuk memerangi saudara mereka yang masih Islam.
Ini terus berlaku hinggalah kekuasaan bertukar
tangan. Pada 1898, pengakhiran Perang Sepanyol – Amerika Syarikat telah membawa
Amerika sebagai penjajah baharu Filipina.
Penduduk selatan Filipina cuba untuk mendapatkan
kemerdekaan bagi wilayah mereka yang tidak pernah dijajah oleh Sepanyol namun
tidak diendahkan oleh Amerika Syarikat.
Ternyata Amerika mendapat kekuasaan ke atas wilayah
itu dengan muslihat. Ini kerana berdasarkan rekod yang ia tidak pernah dijajah
oleh Sepanyol, mana mungkin Sepanyol menyerahkan begitu sahaja wilayah tersebut
kepada Amerika Syarikat sedangkan Sepanyol sendiri tidak mempunyai kuasa di
situ.
Bagaimanapun, keadaan sudah tidak berupaya untuk
diperbaiki lagi. Kekallah wilayah selatan Filipina di bawah pentadbiran Amerika
Syarikat melalui ‘penjajahan di atas kertas’ hingga 1946 (tahun Filipina
mendapat kemerdekaan) yang kemudian disambung dengan pemerintahan kerajaan
Pusat oleh anak watan dari Manila.
Apa pun, nasib penduduk selatan terutama di Mindanao
tidak pernah berubah. Mereka dipinggirkan dari arus pembangunan dengan
persengketaan yang berterusan, yang bermula sejak zaman penjajahan Sepanyol
yang telah mencetuskan konflik agama antara selatan dengan utara.
Mengikut rekod, penjajah sememangnya pernah cuba
mengkristiankan selatan Filipina hingga seorang Sultan Sulu, Sultan Azimuddin @
Alimuddin I pernah dibaptiskan di Manila pada 1750. Beliau menukar nama kepada
Don Fernando de Alimuddin, The Christian Sultan of Jolo.
Berdasarkan undang-undang kesultanan Sulu yang
ketat, hak beliau dan keturunannya gugur secara automatik apabila meninggalkan
Islam. Sultan yang murtad itu malah telahpun memberikan kebenaran kepada
mubaligh Kristian untuk menyebarkan agama mereka di wilayahnya.
Lantaran itu, berlaku perbalahan antara beliau
dengan kerabat diraja yang lain hingga akhirnya, Raja Muda Bantilan dilantik
menggantikan Sultan Alimuddin I dengan gelaran Sultan Bantilan Muizuddin.
Dengan itu, gagallah usaha untuk mengkristiankan
selatan Filipina sebagaimana yang telah dilakukan dengan jayanya oleh penjajah
Sepanyol di kepulauan utara.
Sultan yang terbuang akibat murtad itu bersama
keluarga dan pengikutnya berhijrah ke Zamboanga, kemudian ke Manila dan diberi
sambutan mesra oleh Sepanyol.
Ada maklumat mengatakan, beliau kemudiannya kembali
semula ke Sulu dan bertaubat, namun kesahihan maklumat itu tidak dapat
dipastikan.
Ganas
Ironinya, kedudukan umat Islam di Filipina hari ini
amat menyedihkan. Mereka bukan sahaja telah bertukar daripada majoriti menjadi
minoriti malahan diperangi dan dianggap pengganas oleh dunia.
Memang benar ada segelintir daripada mereka yang
beraksi sebagai pengganas namun siapakah yang meletakkan mereka dalam kancah
ketidakadilan hingga terpaksa jadi begitu?
Meskipun negara telah mencapai kemerdekaan, hak
mereka sebagai pribumi terus menerus dipinggirkan. Ruang untuk mereka
berekonomi secara selesa dinafikan sehingga mencetus berbagai-bagai masalah sosial.
Setelah keluarnya penjajah asing, mereka tetap juga
diberi kan ayanan yang tidak adil dalam pemerintahan oleh anak bangsa. Ini
dilakukan atas dasar perbezaan agama.
Itulah dilemanya!
Penduduk selatan yang digelar Bangsamoro ini boleh
dianggap mangsa keadaan setelah nenek moyang mereka memilih untuk kekal dalam
Islam dan beriman, tidak sebagaimana saudara mereka di Cebu, Luzon atau di
mana-mana wilayah Filipina yang lain.
Mereka boleh sahaja memilih untuk hidup senang, aman
dan kaya raya dalam arus perdana negara jika sanggup untuk murtad dan
bersekongkol dengan penjajah yang telah merampas negara, hasil mahsyul malah
agama nenek moyang mereka. Siapa yang sebenarnya mencetuskan
keganasan?
Itulah ceritanya 'keadilan' dunia yang berlaku di
Filipina!".
No comments:
Post a Comment