Beberapa persoalan sering terlintas di pemikiran kita :
- Mengapakah ada orang yang lahir miskin dan ada pula yang dilahirkan dalam keluarga kaya?
- Benarkah bahawa seseorang yang kaya itu adalah disebabkan tuah dan orang miskin jadi miskin disebabkan takdir?
- Benarkah bahawa untuk menjadi kaya kita perlu belajar daripada mereka yang kaya?
Kaya atau miskinnya seseorang itu, telah ditentukan oleh Allah. Namun tidak salah untuk kita melihat, belajar dengan mencontohi kejayaan mereka yang kaya agar nasib kita berubah kepada yang lebih baik. Dalam Al-Quran sendiri menyebut bahawa, tidak akan diubah nasib skayaesuatu kaum itu, sekiranya mereka tidak merubahnya sendiri. Jadi, mari kita selami bagaimana cara orang kaya berfikir?
Bagaimanakah minda orang kaya berfikir?
Jika dikaji pemikiran orang kaya di dunia seperti Bill Gates, Warren Buffett atau di Malaysia, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary kita akan dapat melihat ciri-ciri dan sifat-sifat peribadi yang berbeza berbanding orang biasa, iaitu:
- Suka berniaga atau usahawan semula jadi: Hampir kesemua orang kaya memiliki perniagaan sendiri kecuali mereka yang mewarisi kekayaan keluarga. Dalam sejarah, hampir tidak pernah berlaku orang makan gaji menjadi kaya raya. Jadi jika mahu muenjadi kaya, anda perlu memulakan perniagaan sendiri. Orang kaya juga ada kalanya melakukan multi-tasking dalam kehidupan sehariannya, maksudnya melakukan lebih daripada satu kerja pada satu masa!
- Berpandangan jauh dan mempunyai visi: Orang kaya percaya menjadi kaya mereka perlu berpandangan jauh. Mereka juga ada matlamat hidup, tidak kita sama ada matlamat jangka panjang dan jangka pendek. Bagi mereka, kekayaan bukanlah sesuatu yang perlu ditunggu atau diberikan oleh pihak lain, tetapi diraih dengan perancangan yang baik.
- Sukakan duit. Sifat orang kaya memang sukakan duit, namun bagi mereka wang bukanlah segala-galanya. Mereka tahu tiada batasan had kekayaan apabila bekerja sendiri berbanding kerja makan gaji. Mereka juga menghargai duit dan belajar meningkatkan jumlah duit tersebut dan percaya wang dan kekayaan perlu untuk mencapai tujuan hidup. Dalam erti kata lain, dengan wang yang dimiliki boleh meningkatkan taraf hidup, taraf kesihatan dan kualiti kebahagiaan yang mereka miliki.
- Tidak menganggap duit sebagai punca kejahatan: Bagi mereka, dengan mempunyai banyak wang, akan dapat mengelakkan mereka dari terjerumus ke dalam masalah akibat tidak memiliki duit seperti merompak, membunuh dan mencuri.
- Orang kaya suka menyimpan: Orang kaya sentiasa menyimpan sekurang-kurangnya 50% hasil pendapatan mereka. Oleh itu jika ingin keluar dari kemiskinan maka anda perlu berusaha untuk lebih banyak menyimpan.
- Orang kaya selalu membuat pelaburan untuk menggandakan kekayaan: Wang menghasilkan wang! Kebiasaannya orang kaya akan faham bahawa wang yang diperoleh daripada keuntungan perniagaan bukanlah untuk dibelanjakan melainkan untuk diproduktifkan sehingga kembali menghasilkan wang. Mereka akan melaburkan duit yang mereka miliki dan berusaha melaburkan semula keuntungan perniagaan untuk mengembangkan perniagaan mereka, menambah pelaburan emas, perak, amanah saham dan pasaran saham dengan harapan agar duit ini akan berganda menjadi lebih banyak pada masa hadapan. Walau bagaimanapun, apa saja bentuk pelaburan adalah berisiko tinggi. Anda perlu belajar untuk melaburkan duit yang anda miliki, ilmu pengetahuan anda mungkin akan mengalami kerugian dalam pelaburan yang dilakukan!
Faktor Kekayaan
- Kaya Disebabkan Keturunan: Ada usahawan yang kaya disebabkan keturunan. Lahir-lahir sahaja sudah berada dalam keluarga yang kaya, tentu masa depan pun cerah, bukan? Namun tak ramai yang bernasib sebegini baik, hanya segelintir sahaja.
- Menjadi usahawan atau ahli perniagaan: Forbes Magazines telah menyenaraikan 74% daripada mereka yang berjaya dan kaya adalah mereka yang menjalankan perniagaan. Menjalankan perniagaan juga dianggap mulia dalam Islam. Terdapat hadis nabi yang menyebut, 9/10 sumber rezeki adalah hasil daripada perniagaan. Sekiranya ingin menceburi dalam bidang perniagaan, maka seseorang itu perlu pantas dalam merebut peluang yang ada. Jangan risau tentang hal orang lain tetapi fokus untuk memperbaiki diri sendiri. Belajarlah dari mereka yang telah terbukti berjaya dalam perniagaan dan pelajari sistem yang digunakan mereka. Keusahawanan adalah asas yang penting untuk membina kekayaan tetapi anda perlu bersedia untuk menambah ilmu dan kemahiran. Antaranya ialah ilmu pemasaran kerana pemasaran adalah kunci kejayaan dan kekayaan keusahawanan.
- Bekerja keras menaiki tangga kerjaya: Tahukah anda 10% daripada orang kaya membina kekayaan mereka melalui kerja keras, berusaha dan menjadi aset kepada syarikat-syarikat tertentu. Mereka berkhidmat di syarikat-syarikat yang pada asalnya kecil, kemudian selepas beberapa tahun berkembang menjadi syarikat yang besar. Mereka yang telah bekerja keras ini kemudiannya diberikan ganjaran saham apabila syarikat tersebut disenaraikan ke bursa saham.
- Menjadi pakar atau profesional dalam sesuatu bidang: Ada juga yang kaya dan berjaya dengan memilih kerjaya profesional ataupun pakar dalam sesuatu bidang. Contohnya seperti doktor, akauntan, peguam, arkitek, jurutera dan lain-lain lagi. Pengalaman yang dimiliki oleh mereka yang terlibat dalam profesion ini membolehkan mereka dinilai dan diberi ganjaran pendapatan yang sangat lumayan.
- Melibatkan diri dalam bidang jualan: Melibatkan diri dalam bidang jualan adalah cara yang mudah dan ramai daripada mereka yang berjaya serta kaya dengan cara ini. Usahawan yang terlibat dala, bidang jualan mungkin mempunyai kelulusan sederhana tetapi pendapatan mereka mungkin lebih banyak sebulan dibandingkan dengan pakar yang mengajar tentang teori jualan dan pemasaran tetapi tidak pernah terlibat dalam hal menjual barang.
- Nasib, bakat atau rezeki yang terpijak: Hanya 1% daripada mereka yang kaya berjaya dengan cara ini. Mereka membina kekayaan melalui saham, ciptaan terbaru atau terkini, terknologi, industri hiburan, penulisan buku dan lagu, menang loteri atau apa-apa cara yang banyak memerlukan usaha tetapi banyak bergantung kepada bakat dan nasib. Kaedah ini adalah tidak mustahil tetapi agak susah.