Tuesday, 14 June 2016

Bagaimana Orang Kaya Bermula


Beberapa persoalan sering terlintas di pemikiran kita :

  1. Mengapakah ada orang yang lahir miskin dan ada pula yang dilahirkan dalam keluarga kaya?
  2. Benarkah bahawa seseorang yang kaya itu adalah disebabkan tuah dan orang miskin jadi miskin disebabkan takdir?
  3. Benarkah bahawa untuk menjadi kaya kita perlu belajar daripada mereka yang kaya?
Kaya atau miskinnya seseorang itu, telah ditentukan oleh Allah. Namun tidak salah untuk kita melihat, belajar dengan mencontohi kejayaan mereka yang kaya agar nasib kita berubah kepada yang lebih baik. Dalam Al-Quran sendiri menyebut bahawa, tidak akan diubah nasib skayaesuatu kaum itu, sekiranya mereka tidak merubahnya sendiri. Jadi, mari kita selami bagaimana cara orang kaya berfikir?

Bagaimanakah minda orang kaya berfikir?

Jika dikaji pemikiran orang kaya di dunia seperti Bill Gates, Warren Buffett atau di Malaysia, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary kita akan dapat melihat ciri-ciri dan sifat-sifat peribadi yang berbeza berbanding orang biasa, iaitu:

  1. Suka berniaga atau usahawan semula jadi: Hampir kesemua orang kaya memiliki perniagaan sendiri kecuali mereka yang mewarisi kekayaan keluarga. Dalam sejarah, hampir tidak pernah berlaku orang makan gaji menjadi kaya raya. Jadi jika mahu muenjadi kaya, anda perlu memulakan perniagaan sendiri. Orang kaya juga ada kalanya melakukan multi-tasking dalam kehidupan sehariannya, maksudnya melakukan lebih daripada satu kerja pada satu masa!
  2. Berpandangan jauh dan mempunyai visi: Orang kaya percaya menjadi kaya mereka perlu berpandangan jauh. Mereka juga ada matlamat hidup, tidak kita sama ada matlamat jangka panjang dan jangka pendek. Bagi mereka, kekayaan bukanlah sesuatu yang perlu ditunggu atau diberikan oleh pihak lain, tetapi diraih dengan perancangan yang baik.
  3. Sukakan duit. Sifat orang kaya memang sukakan duit, namun bagi mereka wang bukanlah segala-galanya. Mereka tahu tiada batasan had kekayaan apabila bekerja sendiri berbanding kerja makan gaji. Mereka juga menghargai duit dan belajar meningkatkan jumlah duit tersebut dan percaya wang dan kekayaan perlu untuk mencapai tujuan hidup. Dalam erti kata lain, dengan wang yang dimiliki boleh meningkatkan taraf hidup, taraf kesihatan dan kualiti kebahagiaan yang mereka miliki.
  4. Tidak menganggap duit sebagai punca kejahatan: Bagi mereka, dengan mempunyai banyak wang, akan dapat mengelakkan mereka dari terjerumus ke dalam masalah akibat tidak memiliki duit seperti merompak, membunuh dan mencuri.
  5. Orang kaya suka menyimpan: Orang kaya sentiasa menyimpan sekurang-kurangnya 50% hasil pendapatan mereka. Oleh itu jika ingin keluar dari kemiskinan maka anda perlu berusaha untuk lebih banyak menyimpan.
  6. Orang kaya selalu membuat pelaburan untuk menggandakan kekayaan: Wang menghasilkan wang! Kebiasaannya orang kaya akan faham bahawa wang yang diperoleh daripada keuntungan perniagaan bukanlah untuk dibelanjakan melainkan untuk diproduktifkan sehingga kembali menghasilkan wang. Mereka akan melaburkan duit yang mereka miliki dan berusaha melaburkan semula keuntungan perniagaan untuk mengembangkan perniagaan mereka, menambah pelaburan emas, perak, amanah saham dan pasaran saham dengan harapan agar duit ini akan berganda menjadi lebih banyak pada masa hadapan. Walau bagaimanapun, apa saja bentuk pelaburan adalah berisiko tinggi. Anda perlu belajar untuk melaburkan duit yang anda miliki, ilmu pengetahuan anda mungkin akan mengalami kerugian dalam pelaburan yang dilakukan!
Faktor Kekayaan

  1. Kaya Disebabkan Keturunan: Ada usahawan yang kaya disebabkan keturunan. Lahir-lahir sahaja sudah berada dalam keluarga yang kaya, tentu masa depan pun cerah, bukan? Namun tak ramai yang bernasib sebegini baik, hanya segelintir sahaja.
  2. Menjadi usahawan atau ahli perniagaan: Forbes Magazines telah menyenaraikan 74% daripada mereka yang berjaya dan kaya adalah mereka yang menjalankan perniagaan. Menjalankan perniagaan juga dianggap mulia dalam Islam. Terdapat hadis nabi yang menyebut, 9/10 sumber rezeki adalah hasil daripada perniagaan. Sekiranya ingin menceburi dalam bidang perniagaan, maka seseorang itu perlu pantas dalam merebut peluang yang ada. Jangan risau tentang hal orang lain tetapi fokus untuk memperbaiki diri sendiri. Belajarlah dari mereka yang telah terbukti berjaya dalam perniagaan dan pelajari sistem yang digunakan mereka. Keusahawanan adalah asas yang penting untuk membina kekayaan tetapi anda perlu bersedia untuk menambah ilmu dan kemahiran. Antaranya ialah ilmu pemasaran kerana pemasaran adalah kunci kejayaan dan kekayaan keusahawanan.
  3. Bekerja keras menaiki tangga kerjaya: Tahukah anda 10% daripada orang kaya membina kekayaan mereka melalui kerja keras, berusaha dan menjadi aset kepada syarikat-syarikat tertentu. Mereka berkhidmat di syarikat-syarikat yang pada asalnya kecil, kemudian selepas beberapa tahun berkembang menjadi syarikat yang besar. Mereka yang telah bekerja keras ini kemudiannya diberikan ganjaran saham apabila syarikat tersebut disenaraikan ke bursa saham.
  4. Menjadi pakar atau profesional dalam sesuatu bidang: Ada juga yang kaya dan berjaya dengan memilih kerjaya profesional ataupun pakar dalam sesuatu bidang. Contohnya seperti doktor, akauntan, peguam, arkitek, jurutera dan lain-lain lagi. Pengalaman yang dimiliki oleh mereka yang terlibat dalam profesion ini membolehkan mereka dinilai dan diberi ganjaran pendapatan yang sangat lumayan.
  5. Melibatkan diri dalam bidang jualan: Melibatkan diri dalam bidang jualan adalah cara yang mudah dan ramai daripada mereka yang berjaya serta kaya dengan cara ini. Usahawan yang terlibat dala, bidang jualan mungkin mempunyai kelulusan sederhana tetapi pendapatan mereka mungkin lebih banyak sebulan dibandingkan dengan pakar yang mengajar tentang teori jualan dan pemasaran tetapi tidak pernah terlibat dalam hal menjual barang.
  6. Nasib, bakat atau rezeki yang terpijak: Hanya 1% daripada mereka yang kaya berjaya dengan cara ini. Mereka membina kekayaan melalui saham, ciptaan terbaru atau terkini, terknologi, industri hiburan, penulisan buku dan lagu, menang loteri atau apa-apa cara yang banyak memerlukan usaha tetapi banyak bergantung kepada bakat dan nasib. Kaedah ini adalah tidak mustahil tetapi agak susah.

Monday, 13 June 2016

Kadar Tol Naik di Lapan Lebuhraya Tidak Lama Lagi

13 Jun 2016 - Sumber paultan.org

Sedang berehat melayari internet, mata tertarik terhadap artikel dari paultan.org .

Tahun ini sebanyak 18 buah plaza tol telah terlibat dengan kenaikan kadar dan kebanyakannya adalah secara drastik. Bagi tahun ini pula, kerajaan dikatakan bakal membuat keputusan untuk menaikkan kadar tol bagi lapan lagi syarikat konsesi, menurut The Sun.

Akhbara  berbahasa Inggeris itu turut memetik dari Sin Chew Daily, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jika ingin mengekalkan kadar tol yang sama pada harga kini, kerajaan perlu membayar pampasan kepada pihak konsesi dalam jumlah yang sangat besar dan ini membebankan kerajaan dalam hutang jangka masa panjang.

Beliau turut menambah, kerajaan telah berhadapan dengan kesukaran untuk membuat keputusan berhubung perkara ini. Namun hanya ada dua pilihan di bawah rancangan penstrukturan semula tol iaitu membenarkan kenaikan tol dan pengguna perlu membayar lebih untuk menggunakan lebuh raya, atau menanggung beban kos pampasan tersebut.

Fadillah berkata syarikat konsesi yang dibenarkan untuk menaikkan kadar tol di lapan buah lebuhraya iaitu Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Hubungan Kedua (Linkedua), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Damansara - Puchong (LDP), Lebuhraya Butterworth - Kulim (BKE), Lebuhraya Seremban - Port Dickson (SPDH) dan Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB) pada 1 Januari tahun ini, menurut persetujuan yang telah ditandatangani sebelum ini. LDP juga telah menaikkan kadar tol pada tahun lalu.

Jika kerajaan tidak meluluskan kenaikan kadar tol ini, jumlah pampasan yang perlu dibayar adalah sebanyak RM539 juta. "Jika kerajaan menangguhkan kelulusan kenaikan kadar tol, jumlah tersebut (pampasan), akan meningkat setiap tahun. Dalam erti kata lain, ia boleh menyebabkan hutang dalam jangka masa panjang untuk kerajaan," ujar Fadillah.

Menteri tersebut turut menambah, antara tahun 2008 dan 2014, kerajaan telah menolak permohonan untuk menaikkan kadar tol oleh syarikat konsesi lebuhraya, dan ia menyebabkan lebih dari 2.2 bilion pampasan terpaksa di bayar.

Fadillah juga enggan mendedahkan sebarang butiran mengenai kadar tol tersebut, sambil menambah jawatankuasa kerja telah berunding untuk mengemukakan laporannya kepada kabinet bagi menentukan keputusan hasil perbincangan bersama pemegang konsesi lebuh raya tersebut berakhir kelak.

Tahun lalu, sejumlah 18 buah lebuhraya di seluruh Malaysia terlibat dengan kenaikan tol, dalam tarikh yang sama iaitu 15 Oktober. Ini termasuk AKLEH,Besraya, DUKE, Grand Saga, Lebuhraya Guthrie, Kajang SILK, Karak, LATAR, LEKAS, LKSA, MEX, NPE, terowong SMART, Lebuhrayra Senai-Desaru, SKVE, Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Sprint dan LDP.

* Terfikir apa alasan syarikat konsesi ini menaikkan kadar tol? Bayaran balik kepada bank meningkat? Atau memang janji kerajaan agar mereka ini berminat untuk melaburkan wang dalam pembinaan lebuhraya?

Yang pasti, segala macam jenis kenaikan akan dikenakan kepada rakyat. Nak selesa bayar lebih.

Tuesday, 10 May 2016

Jalan-Jalan Fraser Hill



   Awal tahun 2016 cuaca agak panas. Duduk berehat dirumah pun berjujuran peluh walaupun kipas siling disetkan pada kelajuan maksimum. Aircond digunakan, pastinya bil elektrik melambung memandangkan aircond terpaksa bekerja keras bagi mencapai suhu yang ditetapkan.

  Jadi selalunya pada hujung minggu, masa akan dihabiskan dengan membawa keluarga bersiar-siar dikawasan-kawasan yang penuh dengan flora dan fauna. Sejuk sikit. Kali ini nak kongsi sedikit aktiviti keluarga ke Fraser Hill.

  Terletak di Banjawan Titiwangsa, berada di daerah Raub, Pahang. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 2 jam dari Kuala Lumpur melalui Kuala Kubu.

  Melalui jalan yang berbengkang-bengkok dan keadaan jalan yang sempit (selepas Kuala Kubu). Dinasihatkan wajib sediakan beg muntah bagi mereka yang tidak tahan dengan perjalanan begini.

  Setibanya disana, hujan renyai-renyai. Di sini terdapat restoran, jadi boleh lah mengisi perut yang kosong. Terdapat juga hotel dan tempat penginapan bagi yang mahu bermalam. Bangunan disini seni binanya mengikuti binaan british. Ketibaan anda disambut dengan menara jam di bulatan kecil.



  Disini kami sekeluarga menghabiskan masa dengan pergi membawa anak-anak pergi menunggang kuda. Bayaran yang dikenakan Sebanyak RM 7 dewasa dan RM 5 kanak-kanak (lebih kurang, tak ingat sangat). Bagi kanak-kanak yang berumur dibawah umur 6 tahun tidak dibenarkan menunggang sendirian, perlu menunggang bersama penjaga. Bayaran yang dikenakan RM 11. Harga tersebut untuk satu pusingan. Kalau hujan, servis kuda ini akan ditutup kerana kuda tak boleh kena hujan. Pastikan anda datang pada bukan musim hujan.





  Selepas itu, aktiviti diteruskan dengan pergi ke tempat memanah. RM11 untuk 10 anak panah. Jarak sasaran dalam 20 meter. Bagi yang pertama kali mahu mencuba, jangan takut jangan segan. Anda akan diajar cara menggunakannya. Lagipun, majoriti yang mencuba tak pandai pun.



  Selepas itu, kami terus Allan's Water. Kawasan rekreasi air. Terdapat tasik kecil disini. Anda boleh melakukan aktiviti berkayak, masuk kedalam bola besar di dalam air, dan memberi ikan makan. Sesuai untuk kanak-kanak.

  Akhir aktiviti disini, kami pergi ke taman permainan. Jadi seronoklah anak-anak dapat bermain. Disini terdapat juga medan selera. Ada perkhidmatan sewa roller blade.




  Dekat 6 petang kami meninggalkan Fraser Hill. Kami ingin cuba balik menggunakan jalan ke Raub. Kerana jalan tersebut kurang bengkang bengkoknya. Tapi tak digalakkan kerana jauh untuk ke Kuala Lumpur. Kami sekadar ingin 'merasai pengalaman'.

Sekian. Terima kasih.



Thursday, 5 May 2016

Bagaimana Berhenti Merokok



1. Semua perokok pernah mempunyai keinginan dan keazaman berhenti merokok. Lebih-lebih lagi ketika hampir putus nafas ketika menaiki tangga atau bukit. Ketika itu keazaman berhenti merokok sangat tinggi.

2. Namun selepas itu keinginan merokok itu kembali atau dalam istilah masyarakat "sangap", Azam yang dibuat sebentar tadi hilang begitu sahaja.

3. Rokok itu adalah candu. Banyak keburukan yang kita dengar akibat rokok:

  • Kanser
  • Membazir duit (sekarang Dunhill RM17)
  • Fizikal kelihatan tua

14 TIPS UNTUK BERHENTI MEROKOK

1. War-war keputusan anda untuk berhenti merokok.
  • Maklumkan kepada rakan dan keluarga tentang keputusan anda. Minta juga kepada mereka yang merokok agar tidak merokok dihadapan anda (kalau berani la).
2. Tetapkan Waktu Bila Anda Akan Berhenti Merokok.
  • Waktu yang paling sesuai ialah ketika keazaman anda memuncak.
  • Percayalah untuk anda berhenti serta merta adalah mustahil. Jadi, kaedah paling masuk akal ialah anda berhenti secara perlahan. Mungkin mulai dengan berazam merokok sebatang dua sehari.
3. Buat Jadual.
  • Atur jadual anda, tidak terlalu ketat atau terlalu pendek jangkamasa untuk berhenti secara total.
  • Kerana pasti terdapat pelanggaran setelah anda tetapkan waktu.
  • Ini akan menyebabkan anda kecewa dan moral untuk berhenti terus hilang; ini banyak terjadi.
  • Teruskan usaha, jarang sekali yang berjaya pada minggu pertama.
4. Mulakan Dengan Cara Paling Mudah & Sesuai Dengan Anda.
  • Kenali diri anda. Ketahui bila anda akan merokok (kebosanan, selepas makan, ketika masuk ke tandas & ketika melepak di kedai mamak dengan rakan).
  • Dengan itu, anda boleh merancang bagaimana untuk tidak merokok pada waktu-waktu ini.
  • Contohnya, jangan bawa rokok ketika melepak dan juga kalau boleh elakkan melepak dengan rakan yang merokok.
  • Buang lighter anda, ini juga mampu melengahkan anda untuk merokok.
5. Sibukkan Diri
  • Terutama pada hari pertama dan minggu pertama anda berhenti merokok.
  • Dengan ini, anda mampu melupakan atau menghilangkan rasa ingin merokok.
  • Juga anda sibukkan diri dengan bersukan. Ini akan mengingatkan anda keburukan merokok ketika sibuk menyedut oksigen.
6. Tidur Lebih Banyak
  • Banyakkan rehat kerana proses withdrawal akan menyebabkan anda mengalami kepenatan dan sedikit sengsara.
  • Pada waktu ini, mudah untuk melelapkan mata kerana kandungan nikotin dalam badan semakin berkurangan.
7. Minum Lebih Banyak Air
  • Pastikan anda mengambil banyak air masak. Ini membantu anda menghilang racun dari badan dengan lebih cepat.
  • Juga membantu mengurangkan rasa ingin merokok.
8. Kunjungi Tempat Larangan Merokok
  • Ini membantu anda kerana persekitaran tanpa rokok.
  • Kalau ingin melepak, melepak lah bersama rakan disini. Contohnya di shopping mall.
9. Jangan Pernah Terpedaya "Satu Batang Rokok"
  • Ini yang paling penting, ramai yang terpedaya disini.
  • Sekali anda ambil, Batang yang berikutnya akan menyusul.
  • Peratusan anda terperangkap disini adalah tinggi. Jadi, jika sudah ambil sebatang lupakan dan teruskan azam anda. Jangan kecewa. Ini perkara biasa.
10. Cuba Ambil Pengganti Nikotin
  • Terdapat banyak bahan pengganti nikotin dipasara contohnya chewing gum.
  • Dapatkan nasihat doktor.
  • Method terbaik ialah akupuntur. Ia merupakan cara semulajadi mengurangkan kebergantungan terhadap nikotin. Tanpa rasa sakit.
  • Satu hingga lima kali membuat rawatan akupuntur akan mengurangkan tekanan psikologi, stress, depresi.
  • Akupuntur juga mampu meningkatkan kesuburan serta membantu otak untuk berfikir dengan waras.
11. Beri Penghargaan Untuk Diri Sendiri Atas Usaha Keras
  • Dengan berhenti rokok, anda mampu meningkatkan lebihan wang.
  • Wang ini boleh digunakan untuk memberi award atas usaha anda.
  • Juga dengan wang ini anda boleh digunakan dalam bajet percutian tahunan sekeluarga.
12. Berdiet
  • Ketika proses berhenti merokok, selera anda akan bertambah. Kawal pemakanan anda.
13. Berfikir Secara Positif
  • Salah satu cara berhenti merokok adalah dengan cara berfikir positif.
  • Jangan anggap berhenti merokok sebuah pengorbanan. Tidak apa yang perlu dikorbankan. Malah banyak kebaikan diperolehi.
  • Jika anda rasa berhenti merokok adalah satu perkara besar untuk anda, anda perlu berfikir tentang orang yang mengalami masalah yang lebih besar contohnya orang di Syria punyai lebih besar masalah. 
  • Jika anda mampu berbuat sedemikian, anda lebih positif dan berjiwa besar. Maka berhenti rokok tidak sesusah mana.
14. Berhenti Merokok - Mulai Dari Sekarang
  • Anda sudah memperoleh semangat dan sedikit tips tentang bagaimana berhenti merokok?
  • Tidak ada apa-apa yang mampu mengubah atau membuat anda berhenti merokok serta merta. Segalanya terletak pada anda dan cara anda berfikir.
  • Pilihan di tangan anda.

Mulailah sekarang. Terima kasih.


Monday, 25 April 2016

Kembara Hong Kong

Assalamualaikum w.b.t

Berpeluang pergi ke Hong Kong selama 4 hari atas urusan kerja. Perjalanan kali ini berseorangan dan keseorangan. ;)

Ini merupakan kali pertama menjejakkan kaki ke Hong Kong. Lokasi yang dituju ialah Nan Fung. Boleh dikatakan sebuah kawasan di kota Hong Kong. Kota Hong Kong dibahagikan beberapa kawasan; nak panggil daerah pun tak boleh kerna kawasan nya kecil sahaja.

Selain Nan Fung, ada kawasan lain di main city ini seperti North Point dan Causeway Bay.

Bagi penggemar filem Hong Kong, Kow Loon merupakan kawasan yang tidak asing lagi. Kawasan ini terletak di pulau yang lain. Setiap pulau ataupun bandar dihubungkan dengan jambatan bagi kenderaan bertayar dan terowong atau landasan bagi keretapi laju.

Thursday, 21 April 2016

Manila Kota Yang Murtad!


Terbaca artikel menarik dari Muhamad Mat Yakim tentang pengalaman pertama kali menjejakkan kaki ke kota Manila di Sinar Harian.

"Baru-baru ini, penulis menjejakkan kaki buat kali pertama di Manila untuk menghadiri persidangan Publish Asia 2016, acara tahunan Persatuan Penerbit Akhbar dan Berita Seluruh Dunia (WAN-Ifra) Asia Pasifik.

Pertama kali ke Manila dan tanpa sebarang nasihat dan pedoman, penulis berhadapan dengan pengalaman sukar hendak mendapatkan makanan halal di ibu kota Filipina itu terutama pada hari pertama. Hotel Manila, penginapan kami yang  juga venue persidangan di Teluk Manila, agak terpinggir dari pusat kota.

Untuk itu, kami terpaksa keluar ke Makati dengan teksi bertambang 200 pesos (RM17) sehala pada waktu biasa. Pada waktu jalan sesak teruk - kesesakan paling teruk di Kuala Lumpur adalah biasa bagi Manila - tambang diminta 400 pesos (RM34). Ada pemandu yang minta 700 Pesos (RM60) untuk perjalanan sehala sedangkan kalau hendak dikira jarak tidaklah begitu jauh.

Itu hanya untuk mendapatkan makanan halal sedangkan sepanjang waktu siang, kami terperangkap di di dalam dewan persidangan dengan makanan yang disedikan oleh penganjur amat dicurigakan status halalnya. Pihak hotel pula hanya menyediakan makanan halal yang boleh dikira meyakinkan pada waktu sarapan.

Itulah situasi di Manila, kota metropolitan yang tidak ramai tahu bahawa suatu ketika dahulu adalah sebuah kota Islam. Raja Islam yang terakhir memerintah Manila ialah Raja Soliman @ Sulaiman. Sebelum itu, Manila diperintah oleh bapa saudaranya yang bernama Raja Matanda dan Lakandula.

Apabila disebut Islam di Filipina, fikiran kebanyakan kita tertumpu di selatan negara itu, Mindanao dan kepulauan sekitarnya. Tidak ramai yang tahu bahawa sebelum penjajahan Sepanyol, 98 peratus daripada penduduk wilayah kepulauan itu beragama Islam.

Manila, pernah diusahakan untuk jadi ibu kota Islam di Nusantara. Malangnya, penjajahan Sepanyol yang begitu berdendam terhadap orang Islam di Andalusia, begitulah juga hilangnya Islam di Filipina.

Arab

Manila, nama asalnya Kota Seludong mendapat nama daripada perkataan Arab, 'Amanillah' ataupun 'Fi amanillah' yang bermaksud 'Kota Aman Lindungan Allah'.

Raja Sulaiman memerintah di delta Sungai Pasig, bersemayan di tapak asal bandar Manila, tidak jauh dari Hotel Manila sekarang. Selain beliau, bapa saudaranya, Lakandula memerintah kerajaan Tondo yang menguasai muara Sungai Pasig. Meskipun wilayah mereka tidak seluas mana, kedua-duanya memerintah dengan makmur.   
    
Lakandula yang menguasai pelabuhan, membeli semua barangan yang dibawa oleh pedagang terutama dari China dan beliau membayar terus separuh harga untuk setiap barangan itu sebelum menjual semula kepada mereka yang mahu membelinya di wilayah pedalaman dan kepualuan sekitar. Separuh lagi harga dibayar kepada pedagang terbabit apabila mereka datang semula ke Manila setahun kemudiannya.

Raja Sulaiman pula mengambil alih pemerintahan daripada bapa saudaranya, Raja Matanda. Raja Sulaiman adalah raja Islam yang terakhir di Manila. Anak Lakandula, Magat Salamat yang juga putera mahkota, tidak sempat naik takhta ekoran kemasukan Sepanyol.

Wakil Hispanik yang pertama kali menjejak kaki ke Filipina (ketika itu, belum ada nama Filipina) ialah Ferdinand Magellan yang mendarat di Pulau Cebu pada 16 Mac 1521. Cebu ketika itu diperintah oleh Raja Humabon. Pembantu Magellan ketika di Cebu ialah Panglima Awang, seorang anak muda Melayu yang ditawannya di Melaka. Magellan berasal dari Portugal namun dalam misinya di Nusantara, beliau mewakili Sepanyol.

Disebabkan bahasa Melayu hampir sama dengan bahasa tempatan, Awang diminta jadi penterjemah kepada Magellan.

Dengan pengaruh Magellan, Raja Humabon bersama pengikutnya bersetuju untuk tukar agama. Mereka jadi kumpulan yang pertama murtad di Filipina lalu digelar oleh Magellan sebagai ‘Warga Tuhan Sepanyol’. Persetujuan Raja Humabon adalah disebabkan janji Magellan untuk membantunya memerangi pemberontak Mactan yang diketuai Lapu Lapu.

Buluh

Magellan bersama 60 anggota delegasinya menyerang Lapu Lapu dengan senapang, meriam dan segala jenis senjata besi. Lapu Lapu bersama 1,500 pahlawan Mactan pula hanya bersenjata buluh runcing dan panah beracun. Magellan terkena panah beracun dan temui ajalnya di situ manakala pengikutnya lari lintang pukang balik ke kapal. Panglima Awang juga turut tercedera.

Usaha Sepanyol dalam misi Gold, Glory and Gospel diketuai oleh Magellan tidak begitu berjaya. Bagaimanapun mereka telah dapat menanam benih Kristianisasi dengan murtadnya Raja Humabon dan pengikutnya.

Sejak itu, beberapa lagi misi dihantar ke Filipina hinggalah ia mula memberi kesan melalui pertapakan Miguel Lopez de Legazpi di Cebu pada 1565. Cebu yang telah dikristiankan menerusi pemurtadan Raja Humabon yang sudah pun mempunyai nama baharu, Carlos (bersempena dengan nama Raja Sepanyol) menyambut baik kehadiran de Legazpi.

Sejak itu, Cebu menjadi pusat pemerintahan penjajah Sepanyol. Nama Filipina juga mula digunakan, iaitu ‘Islas de las Felipina’ yang mengambil nama raja muda Sepanyol, Felipe.

de Legazpi bagaimanapun tetap tidak berpuas hati kerana belum menguasai Manila yang didengarinya lebih strategik untuk dijadikan pusat pemerintahan.  Beliau mengatur rancangan untuk menyerang Manila dan menghantar Martin de Goiti dan Juan de Salcedo sebagai utusan untuk rundingan ‘persahabatan’ dengan Raja Sulaiman. Pada mulanya, mereka disambut baik, namun apabila menyedari muslihat Sepanyol, Raja Sulaiman enggan menyerah kalah lalu berlaku pertempuran pada 1570.

Pertempuran demi pertempuran terus meletus hingga 1574, yang akhirnya menyaksikan ketewasan di pihak Raja Sulaiman yang dibantu oleh bapa saudaranya, Lakandula. Raja Sulaiman juga dibantu oleh seorang lagi pemerintah Islam bernama Tarik Sulaiman dari Macabebe dalam Perang Bangkusay.

Bagaimanapun kecanggihan senjata Sepanyol tidak dapat ditandingi.

Setelah kekalahan Raja Sulaiman, penjajah Sepanyol terus memperlihatkan dendam kesumat mereka yang begitu membara. Mereka meruntuhkan tapak kerajaan Raja Sulaiman di bandar Manila lalu mendirikan kota di sekeliling ibu pejabat mereka yang diberi nama Fort Santiago.

Kawasan di dalam kota itu dikenali sebagai Intramuros yang jadi tumpuan pelancong hingga hari ini.

Ada riwayat menyebut, Lakandula selepas itu mengambil tindakan berkompromi dengan penjajah, dan telah murtad bersama keluarganya. Beliau menukar nama kepada Don Carlos Lacandola. Dalam rekod sejarah Sepanyol, Lakandula dianggap seorang pemerintah yang bijak kerana memilih untuk berdamai dan keluarga serta keturunannya diberikan beberapa keistimewaan oleh penjajah.

Ada disebutkan bahawa beberapa nama besar Filipina hari ini termasuk bekas Presiden Diosdado Macapagal dan anaknya yang juga bekas Presiden, Gloria Macapagal Arroyo adalah daripada keturunan Lakandula. Keturunannya yang lain termasuk dua bekas presiden Senat, Jovito Salonga dan Gil Puyat; selebriti antarabangsa, Lea Salonga dan tokoh perniagaan, Gonzalo Puyat.

Sementara Raja Matanda pula ketika terlantar sakit dikatakan telah minta untuk dibaptiskan. Yang kekal Islam hingga menemui syahid dalam peperangan menentang penjajah, adalah Raja Sulaiman, seorang penganut Islam yang taat daripada aliran Ahlul Sunnah Wal Jamaah.

Sama ada cerita kemurtadan raja-raja Manila ini benar ataupun sekadar propaganda penjajah, tidak dapat dipastikan. Apa yang pasti lebih 90 peratus penduduk Filipina hari ini beragama Katholik, agama yang dibawa oleh Sepanyol dan mereka adalah daripada keturunan nenek moyang yang beragama Islam.

Keadaan telah berubah begitu drastik hingga untuk mendapat makanan halal pun begitu sukar di Manila!

Bukanlah tidak ada orang Islam di Manila, masjid pun ada namun bilangan mereka adalah sangat sedikit berbanding keseluruhan populasi. Kebanyakannya bertumpu di Quiapo District, dan apa yang menyedihkan ialah dari sudut sejarahnya. Hilangnya Islam di Manila (dan hampir seluruh Filipina) adalah kerana pemurtadan nenek moyang mereka!

Sejak era Christopher Columbus yang tersesat ke Amerika dalam pelayaran ke India, setiap orang tempatan yang ditemui digelar Indian. Di Filipina, penjajah Sepanyol menggelar penduduk tempatan yang telah dikristiankan sebagai Indios manakala penduduk di kepulauan selatan (Mindanao dan lain-lain) yang beragama Islam sebagai Moro. Ini adalah berkaitan dengan pengalaman mereka di Sepanyol yang mana orang Islam digelar ‘Moor’ sebagai gelaran penghinaan.

Sulu

Selepas menguasai Manila dan sebahagian besar wilayah Filipina, Sepanyol cuba untuk mara ke selatan. Bagaimanapun mereka menghadapi tentangan sengit daripada penduduk di sana. Sepanyol tidak pernah berjaya menjajah wilayah selatan Filipina.  Orang Suluk atau Tausug di selatan Filipina sejak abad ke 14 lagi sudah mempunyai empayar kesultanan yang kuat.

Dengan sejarah gemilang sebagai pemilik empayar Sulu, sukar bagi Sepanyol untuk  menewaskan mereka, tidak seperti di utara. Bagaimanapun Sepanyol menggunakan jalan selamat untuk tidak menggunakan orangnya sendiri di barisan hadapan sebaliknya menghantar penduduk Filipina sendiri yang telah dikristiankan untuk memerangi saudara mereka yang masih Islam.

Ini terus berlaku hinggalah kekuasaan bertukar tangan. Pada 1898, pengakhiran Perang Sepanyol – Amerika Syarikat telah membawa Amerika sebagai penjajah baharu Filipina.

Penduduk selatan Filipina cuba untuk mendapatkan kemerdekaan bagi wilayah mereka yang tidak pernah dijajah oleh Sepanyol namun tidak diendahkan oleh Amerika Syarikat.

Ternyata Amerika mendapat kekuasaan ke atas wilayah itu dengan muslihat. Ini kerana berdasarkan rekod yang ia tidak pernah dijajah oleh Sepanyol, mana mungkin Sepanyol menyerahkan begitu sahaja wilayah tersebut kepada Amerika Syarikat sedangkan Sepanyol sendiri tidak mempunyai kuasa di situ.

Bagaimanapun, keadaan sudah tidak berupaya untuk diperbaiki lagi. Kekallah wilayah selatan Filipina di bawah pentadbiran Amerika Syarikat melalui ‘penjajahan di atas kertas’ hingga 1946 (tahun Filipina mendapat kemerdekaan) yang kemudian disambung dengan pemerintahan kerajaan Pusat oleh anak watan dari Manila.

Apa pun, nasib penduduk selatan terutama di Mindanao tidak pernah berubah. Mereka dipinggirkan dari arus pembangunan dengan persengketaan yang berterusan, yang bermula sejak zaman penjajahan Sepanyol yang telah mencetuskan konflik agama antara selatan dengan utara.

Mengikut rekod, penjajah sememangnya pernah cuba mengkristiankan selatan Filipina hingga seorang Sultan Sulu, Sultan Azimuddin @ Alimuddin I pernah dibaptiskan di Manila pada 1750. Beliau menukar nama kepada Don Fernando de Alimuddin, The Christian Sultan of Jolo.

Berdasarkan undang-undang kesultanan Sulu yang ketat, hak beliau dan keturunannya gugur secara automatik apabila meninggalkan Islam. Sultan yang murtad itu malah telahpun memberikan kebenaran kepada mubaligh Kristian untuk menyebarkan agama mereka di wilayahnya.  

Lantaran itu, berlaku perbalahan antara beliau dengan kerabat diraja yang lain hingga akhirnya, Raja Muda Bantilan dilantik menggantikan Sultan Alimuddin I dengan gelaran Sultan Bantilan Muizuddin.

Dengan itu, gagallah usaha untuk mengkristiankan selatan Filipina sebagaimana yang telah dilakukan dengan jayanya oleh penjajah Sepanyol di kepulauan utara.

Sultan yang terbuang akibat murtad itu bersama keluarga dan pengikutnya berhijrah ke Zamboanga, kemudian ke Manila dan diberi sambutan mesra oleh Sepanyol.

Ada maklumat mengatakan, beliau kemudiannya kembali semula ke Sulu dan bertaubat, namun kesahihan maklumat itu tidak dapat dipastikan.

Ganas

Ironinya, kedudukan umat Islam di Filipina hari ini amat menyedihkan. Mereka bukan sahaja telah bertukar daripada majoriti menjadi minoriti malahan diperangi dan dianggap pengganas oleh dunia.

Memang benar ada segelintir daripada mereka yang beraksi sebagai pengganas namun siapakah yang meletakkan mereka dalam kancah ketidakadilan hingga terpaksa jadi begitu?

Meskipun negara telah mencapai kemerdekaan, hak mereka sebagai pribumi terus menerus dipinggirkan. Ruang untuk mereka berekonomi secara selesa dinafikan sehingga mencetus berbagai-bagai masalah sosial.

Setelah keluarnya penjajah asing, mereka tetap juga diberi kan ayanan yang tidak adil dalam pemerintahan oleh anak bangsa. Ini dilakukan atas dasar perbezaan agama.
Itulah dilemanya!

Penduduk selatan yang digelar Bangsamoro ini boleh dianggap mangsa keadaan setelah nenek moyang mereka memilih untuk kekal dalam Islam dan beriman, tidak sebagaimana saudara mereka di Cebu, Luzon atau di mana-mana wilayah Filipina yang lain.

Mereka boleh sahaja memilih untuk hidup senang, aman dan kaya raya dalam arus perdana negara jika sanggup untuk murtad dan bersekongkol dengan penjajah yang telah merampas negara, hasil mahsyul malah agama nenek moyang mereka.   Siapa yang sebenarnya mencetuskan keganasan?


Itulah ceritanya 'keadilan' dunia yang berlaku di Filipina!".

Tuesday, 19 April 2016

Sport Days Atfal Kids Ibnu Sina 2016



Assalamualaikum.

Dah lama tak coret-coret di ruangan ni. Terdapat kekangan masa, maklumlah baru sahaja menerima ahli keluarga yang baru pada Februari lalu. Alhamdulillah.

Kali ini ingin kongsi kan hari sukan anak sulung yang belajar di Atfal Kids Ibnu Sina di Sport Planet Ampang. Di gelanggang futsal FIFA tu la.

Kali ini dua branch bergabung iaitu Ibnu Sina & Al-Ghazali. Utk anak saya, ini kali pertama dia mengambil bahagian. Cuma saya sahaja yang hadir, ibunya dan dua adik lagi tidak dapat hadir kerana ibunya masih dalam pantang. ;)

Acara dimulakan dengan kata-kata aluan daripada emycee dan juga guru-guru sibuk menyiapkan anak2 ini dengan costume dan segala macam aksesori utk acara perbarisan.

Selepas acara perbarisan, acara sukanneka bermula. Mereka dibahagikan kepada 3 kumpulan; 4 tahun, 5 tahun & 6 tahun.

Memang seronok.

Selepas acara tamat, setiap pelajar mendapat medal dan juga cenderahati sebagai kenangan.

Itu aje lah nak cerita (ambil mood untuk menulis lebih panjang di lain kali).

Terima kasih.